Bismillahirahmanirahim.
Ujian dan dugaan itu adalah ibarat pelukan kasih sayang Tuhan,
special buat orang yang Dia cintai.
Jauh di bangku kosong itu, dia duduk sendiri. Mengamati setiap manusia dengan ragamnya pelbagai. Berjalan melepasi sepanjang titian jalan itu. Dia pandang, lihat dedaun di tepi jalan, kekuning keorenan. Ada yang sudah mula gugur menyembah bumi, lalu terbang pula di bawa angin lalu musim ini.
Pandangan tertumpu pula ke arah anak kecil yang berlari-lari ketawa. Sesekali menoleh ke belakang memastikan ibunya ada. Gelagat seorang anak yang masih bersih fitrahnya. Comel.
Aku ukir senyum sendiri. Entah ada atau tidak yang menyedari, aku tidak peduli. Bibir masih lagi tersenyum di posisi.
"Bila kita diuji Tuhan dengan musibah atau kesusahan, saat diri terasa sangat melemah, ingatlah, cubalah untuk memandang orang-orang yang lebih tinggi nilai ujian yang Tuhan beri kepada dia, yang jauh lagi hebat dari kita." Terngiang-ngiang kata seorang akhawat semasa perbualan tempoh hari. Hati terdetik pula, Allah, bersyukurnya rasa, dihadiahkan Tuhan, sahabat-sahabat yang selalu mengingatkan. Bagi aku, mereka, permata nikmat Tuhan paling berharga.
Dari sudut jauh, aku teringatkan mereka, saudara seislamku, mereka di Palestin, Syria. Ahh, terlalu besar dugaan mereka, tak terbanding langsung dengan aku di sini. Aku di sini yang masih lagi bisa bergelak ketawa, makan yang enak-enak saja, tidur dalam lena. Sedang mereka? Tidurnya di mana? Makannya apa? Entah bagaimana.
Air mata bergenang.
Teringat dulu. Saat-saat aku menangis hebat, dek kehilangan seseorang yang bukan sesiapa, menangis cuma hanya dikecewa, sedang mereka di sana, tabah menghadapi kepergian ummi, abi, atau mungkin juga anak sendiri. Pergi mereka yang tak akan pernah lagi kembali. Satu-satu harapan mereka cuma moga Allah persatukan lagi di syurga Tuhan yang abadi.
Malu aku. Terlalu malu untuk dibandingkan.
Ayat cinta Tuhan mula berbicara di kotak ingatan.
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir."
Al-Baqarah 2:286
Tewas. Butiran permata yang bertakung di kolam mata tadi pecah juga akhirnya. Menitis satu persatu.
Mendalami ujian dan dugaan. Allah, betapa aku rasakan betapa ujian-ujian yang Tuhan datangkan untuk aku, terlalu kecil, remeh dan entah apa-apa saja. Berbanding mereka yang Tuhan uji di luar sana. Diuji sebegini kecil, sudah harus terjelepok jatuh? Sudah harus mengangkat tangan menyerah tunduk? Aduh, bagaimana mahu hadapi ujian yang lebih besar nanti?
"Ujian dan masalah itu Tuhan yang ciptakan. Dia ciptakan khas buat hamba-hamba yang Dia pilih. Melalui ujian itu, Dia uji bagaimana kebergantungan, ketabahan hamba-hambaNya kepadaNya. Jangan bimbang, bila Dia datangkan masalah dan dugaan itu, Dia pasti akan menyempurnakan dan menyelesaikan kembali semua itu. Cuma kita, bila tidak mampu, tiada daya, tinggal doa dan tawakal pada Tuhan saja. Bergantung pada Dia, yang selamanya azali." Kata-kata dari seorang akhawat terngiang-ngiang lagi.
Benar. Tuhan tidak pernah kejam. Tidak pernah sesekali. Didatangkan dugaan bukan untuk merendahkan dan menjatuhkan. Cuma sekali-sekala didatangkan ujian sebagai peringatan dan pengajaran saja. Bukankah kita dicipta dan hidup di sini kerana ada tujuannya? Bukankah kita di sini hanya sementara dan bukan untuk dihabiskan sia-sia? Bukankah sekarang kita ada sesuatu yang sedang kita tuju hingga kita bertemu titik akhir? Apa kita kira hidup ini cuma sekadar hidup biasa-biasa saja? Sekadar tahu berseronok dan bergembira cuma?
Tidak.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan," Kami telah beriman, " dan mereka tidak diuji? "
Al-Ankabut 29:2
Memang. Kita di sini sememangnya untuk diuji. Dan apa kita fikir, kita diuji saja-saja? Tak. Tuhan telah lama siapkan ganjarannya. Syurga. Yang di sebut-sebut dalam ayat cinta Allah. Syurga yang seluas langit dan bumi. Yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, yang dipenuhi dengan bermacam buah-buahan, dan dengan segala nikmat yang tiada di dunia.
Dibandingkan dengan dunia, mahu ke tandas juga perlukan bayaran. Tandas cuma? Ini apalah lagi syurga. Syurga itu tiada tandingan harga, yang tiada tandingan apa-apa di dunia. Jadi, apa kita rasa kita layak untuk ke sana sesenangnya? Kalau bicara aku. Tersipu, aku malu terlalu.
"Tidak ada musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
At-Tagabun 64:11
Benar. Apa yang terjadi, apa yang berlaku, segalanya ada sesuatu yang mahu Tuhan sampaikan. Ada sesuatu yang Tuhan mahu kita rasakan. Tanpa kita sedar, ujian-ujian itu sememangnya bisa mendekatkan kita pada Pencipta. Ujian-ujian itu bisa menarik kembali kita, menuju jalan Tuhan kita.
Merenung jalan itu. Kosong.
Tersedar. Patah hati, remuk hati, kehilangan, cuma secebis teguran Tuhan. Satu sapaan dari Tuhan buat ingatkan aku. Alhamdulillah. Cukup buat aku tahu, Tuhan terlalu sayangkan aku. Tuhan maseh mahu jaga aku. Tuhan maseh mahu jaga hati aku. Tinggal aku saja, jaga hati sendiri juga, agar tak tertewas semula. Sungguh, hati itu tak semudah biasa mahu dijaga.
"Dah sampai ke bintang ke?" Tersentak. Aku toleh ke belakang. Tatap satu wajah yang cukup aku kenal.
Ukir senyum.
Aku hulurkan tangan. Dia sambut dengan wajah riang. Lewat senja, dua sahabat berpimpin tangan, pulang menyelusur taman.
Dalam hati, berbunga-bunga. Satu yakinku saja, Tuhan itu ada. Dan akan selalu ada, biar meski sehingga nanti aku sudah tiada. Dan aku tahu, Dia memang selalu mahukan yang terbaek buat hamba-hambaNya.
Aku juga pasti, di sebalik setiap ujian ini,
nanti pasti akan aku temui keindahan yang tak terperi.
"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata "Innalillahiwainailaihiraji'un (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari TuhanNya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.
Al-Baqarah 2:155-157
Ujian dan dugaan itu ada pelbagai. Disampaikan kepada kita dengan cara yang berbeza-beza. Cuma kita saja yang perlu rasa bagaimana ia harus dinilai dan diterima. Anggap ujian itu sebagai hadiah Tuhan, momentum untuk lebih mendekatkan lagi kita pada di sisi Nya. Bersyukurlah, sekurangnya Tuhan masih mahu meletakkan kita di sisi Dia dalam keramaian manusia. Kita hambaNya yang terpilih, hadapilah semua, redha dan doa. Itu saja. Tabah hadapi segala bisa? Bukankah Tuhan memang selalu ada?
Senyum lebar.
-----
Moga Allah redha.
Beijing Foreign Studies University
25102012